Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.4150/4300 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4200/4260 pada Rabu.
"Ringgit dijangka boleh menguji paras RM4.40 hari ini berdasarkan keadaan pasaran yang bertambah baik," kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.31 peratus kepada 107.62 mata apabila sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan menjadi lemah bulan lepas.
"Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) bagi sektor bukan perkilangan berada pada 52.8 mata pada Januari, lebih rendah daripada anggaran konsensus 54.2 mata, menguatkan sokongan penurunan kadar oleh Fed bagi tahun ini.
"Sub-indeks seperti Harga dan Pesanan Baharu juga membayangkan prospek inflasi yang lebih rendah seiring dengan aktiviti ekonomi yang sederhana," katanya.
Beliau berkata, penangguhan sementara kenaikan tarif oleh AS ke atas Kanada dan Mexico selama sebulan juga membantu meredakan kebimbangan mengenai kenaikan harga mendadak.
"Pada masa yang sama, hasil Perbendaharaan AS dua dan 10 tahun jatuh sebanyak 3.0 dan 9.0 mata asas masing-masing kepada 4.19 peratus dan 4.42 peratus, membayangkan bahawa prospek pengurangan Kadar Dana Fed kekal kukuh," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5912/6068 daripada paras penutup 4.5990/6053 pada Rabu, naik berbanding pound British kepada 5.5196/5384 daripada 5.5321/5396 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.84921/987 daripada sebelumnya.
Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2738/2854 daripada paras penutup 3.2746/2792 pada Rabu, naik berbanding baht Thailand kepada 13.1461/2038 daripada 13.1602/1844, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 270.9/272.0 daripada 271.2/271.8 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.64 daripada 7.61/7.63 sebelumnya. - BERNAMA