Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4660/4730 berbanding dolar AS, daripada 4.4680/4730 ketika ditutup pada Isnin.
Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum perayaan Thaipusam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar (DXY) turun 0.37 peratus kepada 107.922 mata apabila Pengerusi Fed Jerome Powell mengulangi pendirian Fed untuk tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai pengurangan kadar dasar.
"Nampaknya hala tuju keseluruhan bertujuan mengurangkan Kadar Dana Fed. Persoalannya adalah mengenai masa dan penentuan tahap akomodasi dasar itu.
"Oleh itu, ini akan menyokong ringgit sehingga tahap tertentu," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, kenyataan Presiden AS, Donald Trump mengenai tarif akan terus mempengaruhi sentimen pasaran memandangkan ciri pengumuman sedemikian yang cenderung mengejutkan pasaran.
Beliau berkata, ketidakpastian dasar mengenai tarif akan menyebabkan pasaran mata wang, termasuk ringgit, bergerak berada dalam julat kecil.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding pound Sterling kepada 5.5602/5689 daripada 5.5430/5492 ketika ditutup pada Isnin, dan turun berbanding euro kepada 4.6281/6354 daripada 4.6128/6179.
Bagaimanapun, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9233/9281 daripada 2.9352/9387.
Mata wang domestik diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.5/273.1 daripada 273.1/273.5 serta lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.69/7.70.
Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.1060/1369 daripada 13.1768/1986 namun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3011/3067 daripada 3.3006/3048 ketika ditutup pada Isnin. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)