KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US pagi ini dalam persekitaran peniaga menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada 4.4500/4700 berbanding dolar US daripada 4.4640/4680 semasa ditutup semalam.

"Walaupun Indeks Pembuatan ISM AS kekal stabil pada 50.3 mata pada Februari daripada 50.9 pada Januari, sub-indeks pesanan baharu jatuh mendadak kepada 48.6 daripada 55.1, mencerminkan permintaan rendah yang boleh membawa kepada kemerosotan pengeluaran," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, indeks dolar AS susut 0.98 peratus kepada 106.557 kerana petunjuk ekonomi AS yang perlahan meningkatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin menurunkan kadar faedah untuk menstabilkan pertumbuhan.

"Selain itu, sokongan pemimpin Eropah terhadap Ukraine berkaitan jaminan keselamatan juga telah meningkatkan sentimen risiko pada tahap tertentu," tambahnya.

Berdasarkan faktor ini, beliau berkata USD/MYR diunjurkan berlegar di sekitar paras sokongan segera pada 4.45.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dalam dagangan awal.

Unit tempatan menguncup kepada 5.6528/6782 berbanding pound Britain daripada 5.6394/6444 ketika ditutup pada Isnin, berkurangan kepada 4.6663/6872 berbanding euro daripada 4.6586/6628 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9786/9922 daripada 2.9683/9711.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3046/3200 daripada 3.3130/3163, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 270.0/271.3 daripada 270.8/271.2 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.72 daripada 7.71/7.72 tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 13.0613/1339 daripada 13.0576/0762 sebelumnya. - BERNAMA