Pada 8 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.4335/4500 berbanding dolar US daripada 4.4340/4400 pada akhir dagangan semalam.
BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat yang diadakan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pendirian dasar monetari itu menyokong ke arah pertumbuhan negara.
"Berdasarkan kenyataan BNM, nampaknya bank pusat tidak tergesa-gesa membuat sebarang pelarasan terhadap OPR berbanding bank pusat lain di rantau Asia di mana pelonggaran monetari telah pun bermula," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyatakan bahawa kadar inflasi Malaysia terus menurun kepada 1.7 peratus pada Disember 2024 daripada paras tertinggi 2.0 peratus pada Julai 2024, menunjukkan dasar monetari berkesan dalam membendung inflasi negara.
Sehubungan itu, beliau menjangka BNM berkemungkinan mengekalkan OPR pada sepanjang 2025 dan ia dijangka mengukuhkan nilai ringgit.
"Oleh itu, ringgit diunjurkan kekal disokong dengan baik dalam tempoh terdekat, beberapa aktiviti pengambilan untung akan berlaku berikutan peningkatan mendadak ringgit berbanding dolar US sejak 13 Januari, 2025 di mana ringgit meningkat sebanyak 1.7 peratus," katanya.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) naik kepada 108.219 mata daripada 108.062 mata sebelum ini kerana pasaran terus memberi tumpuan kepada pengumuman dasar oleh Presiden AS Donald Trump.
"Yang terbaharu ialah pengumuman Project Stargate, projek diterajui sektor swasta yang memfokuskan pada pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
"Saham berkaitan teknologi seperti diwakili oleh Nasdaq melonjak 1.3 peratus malam tadi kepada 20,009.3 mata manakala Perbendaharaan AS 10 tahun menghasilkan tiga mata asas lebih tinggi kepada 4.60 peratus," katanya.
Dalam dagangan awal, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6144/6316 daripada 4.6313/6376 ketika ditutup pada Rabu, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.4590/4793 daripada 5.4822/4896 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.8336/8445 daripada 2.8480/8522.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding baht Thailand kepada 13.0689/1249 daripada 13.1106/1345 dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2710/2836 daripada 3.2781/2828.
Bagaimanapun, unit tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 272.3/273.4 berbanding 272.3/272.8 sebelumnya, ia turut tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.61 daripada 7.58/7.59 ketika ditutup pada Rabu.
-- BERNAMA