KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan pada minggu ini dengan ditutup rendah sedikit pada Jumaat berbanding dolar AS berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati disebabkan ketidakpastian dasar tarif AS.

Selain itu, langkah untuk mengambil alih Gaza yang hangat diperdebatkan telah mencetuskan potensi peningkatan ketegangan konflik di Timur Tengah, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menyusut sedikit kepada 4.4375/4420 berbanding dolar AS 4.4320/4385 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan pasaran semasa akan terus memihak kepada dolar AS memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) dilihat tidak cenderung untuk melonggarkan dasar monetarinya dalam jangka pendek.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.9217/9249 daripada 2.9036/9080 pada Khamis, turun berbanding euro kepada 4.6101/6148 daripada 4.5920/5987 semalam, dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5278/5334 daripada 5.5090/5171 sebelum itu.

Mata wang tempatan itu juga menyusut berbanding mata wang ASEAN.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2866/2901 daripada 3.2742/2793 ketika ditutup pada Khamis, dan merosot berbanding baht Thai kepada 13.1853/2041 daripada 13.1175/1433 sebelum itu.

Ringgit juga turun berbanding rupiah Indonesia kepada 272.4/272.9 daripada 271.2/271.7 semalam dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.62/7.63 ketika ditutup pada Khamis.

-- BERNAMA