Kelemahan dolar itu, katanya, disebabkan oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang perlahan, ketidaktentuan tarif dan penggubalan dasar yang tidak menentu yang mendorong para peniaga beralih kepada mata wang lain.
Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.4230/4270 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4270/4320 pada Rabu.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata buat masa ini dolar AS kekal berada dalam keadaan lemah.
"Melainkan ekonomi AS mengalami lonjakan tidak dijangka yang menggegarkan pasaran, paras rintangan dijangka terus rendah dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.
Innes berkata, penjualan besar-besaran dolar AS memberi rangsangan kepada seluruh pasaran pertukaran asing Asia, dengan ringgit terus mencatatkan kenaikan.
"Ketika para peniaga mengurangkan pegangan jangka panjang dolar, mata wang serantau terus mengukuh," katanya.
Mengenai keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus, Innes berkata ia jelas menunjukkan satu langkah berhemat.
"Dengan inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi yang kekal bertahan, tidak ada keperluan mendesak untuk melaraskan kadar - langkah untuk mengekalkan keanjalan dasar bagi berdepani cabaran pada masa depan," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.6964/7015 daripada 5.6825/6889 pada Rabu, turun berbanding euro kepada 4.7773/7816 daripada 4.7409/7462 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.9940/9969 daripada 2.9614/9647 sebelumnya.
Bagaimanapun ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3186/3218 daripada 3.3126/3166, namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0939/1124 daripada 13.1545/1756, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 270.6/271.0 daripada 271.3/271.8 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.72/7.73.
-- BERNAMA
