Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4410/4450 daripada 4.4440/4480 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat Fed itu akan dikeluarkan malam ini dan dijangka memberikan kejelasan mengenai prospek kadar faedah AS pada masa hadapan.
Beliau berkata beberapa petunjuk mengenai cara pembuat dasar menilai risiko perang perdagangan global juga dijangka diperoleh menerusi laporan itu.
Pada Selasa, kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa beliau mungkin mengenakan tarif sekitar 25 peratus ke atas import kenderaan, semikonduktor, dan farmaseutikal dengan pengumuman dijangka dibuat seawal April, terus memberi kesan negatif kepada sentimen mata wang global.
"Ketidakpastian dasar yang berpunca daripada pentadbiran Trump dan dinamik geopolitik terutama berkaitan dengan perang Ukraine-Rusia telah menyebabkan sentimen pasaran dalam pasaran mata wang kekal berhati-hati.
"Petunjuk daripada kalangan pegawai Fed juga menunjukkan bank pusat AS itu tidak berminat untuk melonggarkan dasar monetarinya dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.
Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6306/6348 daripada 4.6511/6553 ketika ditutup pada Selasa, dan naik berbanding pound British kepada 5.5965/6016 daripada 5.6030/6080.
Bagaimanapun, mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9277/9305 daripada 2.9272/9302 semalam.
Ringgit turut diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.3068/3102 daripada 3.3115/3150 semalam, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1769/1946 daripada 13.1881/2067.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.0/272.4 daripada 272.9/273.3 namun rendah berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.65 daripada 7.63/7.64 ketika ditutup pada Selasa.
-- BERNAMA
