Unit tempatan juga menambah nilai berbanding mata wang utama lain sepanjang tahun 2024 termasuk dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun dengan penambahan nilai keseluruhan dicatatkan berbanding rakan-rakan perdagangan utama Malaysia (Kadar Pertukaran Efektif Nominal atau NominalEffective Exchange Rate, NEER pada tahun 2024: +7.5 peratus).
" Keadaan ini berlaku meskipun ringgit menurun nilai berbanding dolar US (-8.1 peratus) serta berbanding rakan-rakan dagangan utama (NEER: -3.4 peratus) pada suku keempat tahun 2024, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lebih luas.
"Pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS lebih kukuh berikutan jangkaan pasaran kewangan yang dinilai semula berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil pada tahun 2025 serta penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur yang berpunca daripada ketidakpastian dasar di bawah pentadbiran AS yang baharu," katanya.
Pada tahun 2025, pada asas sejak awal tahun sehingga kini, setakat 12 Februari, 2025, ringgit menambah nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS dan menurun nilai sebanyak 0.3 peratus pada asas NEER berbanding rakan-rakan dagangan utama Malaysia.
BNM berkata faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.
"Meskipun begitu, prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit.
"BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur," katanya,
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.2 peratus pada suku keempat (suku ketiga 2024: 4.8 peratus) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat.
"Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi disebabkan oleh pinjaman untuk tujuan berkaitan pelaburan.
"Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan bagi sektor perkilangan dan pembinaan, " katanya.
Dalam pada itu, pinjaman isi rumah berkembang sebanyak 5.9 peratus (suku ketiga 2024: 6.1 peratus) susulan pertumbuhan yang sederhana bagi pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta.
Bagaimanapun, jumlah permohonan dan pengeluaran pinjaman pada amnya kekal mampan untuk suku keempat 2024.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)