KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Rabu susulan kelemahan mata wang Amerika Syarikat.

Ia selepas kerajaan negara itu mengekalkan keputusan mengenakan tarif import terhadap Kanada, Mexico dan China, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4465/4585 berbanding dolar AS daripada 4.4635/4680 pada penutupan Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut lebih satu peratus kepada 105.57.

"Kebimbangan terhadap kenaikan tarif ini boleh memperlahankan ekonomi dan mendorong Rizab Persekutuan (Fed) mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam dasar monetari," tambah beliau.