Pengawal selia bursa, Bursa Securities berkata, ia telah menolak permohonan Scomi Energy yang meminta lanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi dan mengekalkan tarikh akhir pada 31 Januari 2025.
"Oleh itu, Bursa Securities menyatakan saham syarikat tersebut akan dinyahsenarai berkuatkuasa 12 Februari," katanya dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Menurut Scomi Energy, syarikatnya telah mengemukakan permohonan lanjutan masa pada 27 Januari lalu.
Syarikat tersebut berada dalam status Notis Amalan 17 (PN17) sejak Januari 2020.
Scomi Energy mengalami masalah kewangan apabila jumlah ekuiti yang dimiliki oleh pemegang sahamnya menurun sehingga kurang 50% daripada jumlah modal saham yang telah dikeluarkan oleh syarikat.
Pada Julai 2024, Scomi Energy membatalkan pelan regularisasi untuk meneroka sektor pembinaan serta melibatkan Datuk Seri Dr Subramaniam Pillai Sankaran Pillai, yang merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut.
Kemudian pada November 2024, syarikat berkenaan menyatakan ia sedang dalam perbincangan awal dengan individu atau syarikat yang tidak didedahkan untuk merangka pelan regularisasi baharu.
Saham Scomi Energy digantung sejak Julai 2024 selepas syarikat gagal mengemukakan pelan regularisasi mereka mengikut masa yang ditetapkan oleh Bursa Securities. - DagangNews.com
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)