Pada jam 8 pagi ini, ringgit turun ke paras 4.4500/4730 berbanding dolar AS daripada 4.4375/4420 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan di AS menyaksikan pentadbiran PresidenDonald Trump akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium dari semua negara.
"Langkah itu boleh meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran mata wang dengan dolar AS berkemungkinan kekal mendapat permintaan tinggi," katanya kepada Bernama.
Selain itu, data Gaji Bukan Perladangan (NFP) pula lebih rendah daripada jangkaan kepada 143,000 pada Januari 2025 berbanding anggaran ramai atau konsensus sebanyak 170,000.
Bagaimanapun, NFP Disember 2024 telah disemak semula daripada 256,000 kepada 307,000 manakala kadar pengangguran merosot kepada 4.0 peratus pada Januari 2025 daripada 4.1 peratus pada bulan sebelumnya yang memaparkan pasaran tenaga kerja AS masih berdaya tahan.
Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali berbanding yen Jepun yang susut kepada 2.903/9457 daripada 2.9217/9249.
Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.5884/6121 daripada 4.6101/6148 sebelum ini dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5140/5425 daripada 5.5278/5334.
Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.2791/2965 daripada 3.2866/2901 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1214/2009 daripada 13.1853/2041.Ringgit bagaimanapun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/274.8 daripada 272.4/272.9 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.71 daripada 7.65/7.66.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)