KUALA LUMPUR: TikTok LIVE Malaysia telah bersedia membawakan semangat kebersamaan dan perayaan kepada penggunanya melalui kempen terbaharu #BersamaDiRamadanRaya bemula 23 Feb hingga 14 April ini.

Dalam kenyataan hari ini, TikTok LIVE memaklumkan inisiatif musim perayaan itu berlangsung selama lapan minggu dengan merubah platform tersebut menjadi hab yang meriah dengan reka bentuk baharu, pengalaman penglibatan lebih menarik serta ganjaran eksklusif kepada kedua-dua pencipta kandungan dan penonton.

"Untuk meraikan musim perayaan ini, TikTok LIVE telah ditambah baik dengan reka bentuk baharu bertemakan 'Ramadan dan Raya' untuk meningkatkan penglibatan dan mendekatkan lagi dengan komuniti.

"Setiap minggu, platform ini akan memperkenalkan elemen interaktif Ramadan dan raya yang menawarkan pengguna cara baharu untuk turut serta dan berhubung, selain memberi peluang untuk mereka memiliki, memenangi atau membawa pulang barangan eksklusif TikTok LIVE," menurut kenyataan itu.

Tema sepanjang kempen 8 minggu itu temasuk Refleksi Pra-Ramadan pada minggu 1, Memasak LIVE (minggu 2), Trivia dan Permainan Ramadan (minggu 2), Dekorasi DIY (minggu 4), Hitungan Detik Ketupat Maya (minggu 5), Pertarungan Pakaian Raya (minggu 6), Rumah Terbuka Raya ( minggu 7) dan Refleksi Pasca-Raya (minggu 8).

Pengurus Wilayah TikTok LIVE Xiufan Tamer berkata kempen tahun ini membawa kandungan interaktif ke tahap lebih tinggi.

"Dengan tema baharu setiap minggu, pengguna dapat berkongsi keriangan sepenuhnya sempena musim perayaan ini sama ada melalui penceritaan, memasak secara langsung, cabaran kreatif atau peluang hadiah eksklusif.

"Kempen #BersamaDiRamadanRaya dan #SamaSamaLIVE ini akan memastikan ada sesuatu untuk semua orang, selain menjadikan lebih mudah untuk semua rakyat Malaysia menyertai perayaan ini, tidak kira walau di mana mereka berada," katanya.

Pelancaran kempen itu akan dimulakan dengan persembahan istimewa TikTok LIVE bersama hos selebriti Farhan Mustapha, Ameerais Azhar, Izzue Islam, Shiha Zikir, dan ramai lagi, yang bakal menghidupkan suasana setiap minggu bertema itu sekali gus menyemarakkan lagi semangat perayaan sepanjang Ramadan dan raya.

-- BERNAMA