ISTANBUL: Syarikat penerbangan kebangsaan Turkiye, Turkish Airlines, menyambung semula penerbangan ke ibu negara Syria, Damsyik, pada Khamis selepas hampir 13 tahun, menurut agensi berita Jerman dpa yang memetik laporan agensi berita rasmi Anadolu.

Sebuah pesawat dengan 349 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul menuju Damsyik pada Khamis pagi, menjadikannya penerbangan pertama seumpamanya sejak April 2012, lapor Anadolu.

Turkiye menerima jumlah pelarian paling ramai dari Syria di dunia, iaitu sekitar tiga juta orang, menurut angka rasmi.

Ramai rakyat Syria kembali ke negara asal mereka buat kali pertama sejak kejatuhan pemerintah lama, Bashar al-Assad pada awal Disember, menurut Anadolu.

Gambar menunjukkan penumpang menaiki pesawat sambil membawa bendera Syria di bahu mereka.

"Saya rasa seperti dalam mimpi," Anadolu memetik kata-kata penumpang Ahmet Kiraz. Tinggal di Turkiye sejak 2012, Kiraz berkata beliau sudah hilang harapan untuk kembali ke Syria.

Turkish Airlines telah menggantung penerbangan terus ke negara jiran itu susulan perang saudara yang bermula pada 2011.

Syarikat penerbangan itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan tiga penerbangan seminggu ke Damsyik.

Butiran lanjut akan diumumkan pada hari ini, menurut jurucakap syarikat itu.

-- BERNAMA