Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, perkongsian strategik itu turut mengukuhkan kedudukan kawasan tersebut yang merupakan Zon B dalam wilayah pembangunan terbaharu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ).
"Menerusi memorandum persefahaman (MoU) dimeterai hari ini, kami bakal memajukan seluas lebih 4,200 ekar (kira-kira hampir 1,700 hektar) di Gerbang Nusajaya dan Puteri Harbour dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM45 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menandatangani perjanjian bersejarah tersebut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GuocoLand, Cheng Hsing Yao serta disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Khamis lalu.
Terdahulu, pemimpin kerajaan negeri berkenaan merasmikan Galeri Jualan UEM Sunrise yang baharu di Iskandar Puteri dengan turut dihadiri oleh Pengerusi UEM Sunrise, Datuk Hisham Hamdan dan Penasihat Ekonomi Negeri Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Mengulas lebih lanjut, Hafizuddin berkata, MoU tersebut merupakan dua pelan induk dalam Iskandar Puteri dengan kedua-dua syarikat terkemuka itu berkongsi kepakaran yang melangkaui pembangunan hartanah dan menyumbang kepada aspirasi Johor sendiri.
"Sebagai pemaju bersama, kami mengaktifkan potensi Iskandar Puteri yang seterusnya meningkatkan daya tarikan pelaburan dengan memupuk pembangunan bakat serta bakal mewujudkan ekosistem mesra perniagaan dan penggerak manfaat mampan Johor," katanya.
Iskandar Puteri ujarnya, terletak di lokasi strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta berdekatan lebuh raya Link Kedua yang menghubungkan kawasan pinggir laut tersebut dengan Tuas di Singapura.
Justeru Hafizuddin gembira kerana MoU itu ditandatangani selepas kerajaan Malaysia dan Singapura memeterai JS-SEZ di Putrajaya pada 7 Januari lalu merangkumi wilayah koridor pembangunan selatan dikenali Iskandar yang dibentuk pada 8 November 2006.
UEM Sunrise dalam masa sama ujar beliau, bersyukur dapat membina kolaborasi dengan GuocoLand yang disenaraikan di papan utama Bursa Singapura serta terkenal memiliki rekod prestasi kukuh dalam pembangunan dan pelaburan hartanah di republik tersebut.
"Syarikat ini juga membangunkan hartanah di beberapa bandar raya besar di China dan Malaysia dengan pengalaman bersama itu diharapkan boleh menyumbang kepada kemajuan Iskandar Puteri sendiri menerusi beberapa fasa projek selepas ini," tambah beliau.
Bahkan dalam nada optimis, beliau menjangkakan kadar GDV untuk dua kawasan yang akan dibangunkan UEM Sunrise dan GuocoLand itu boleh melonjak sekali gus berpotensi dalam menarik ramai pelabur antarabangsa untuk datang membuat pelaburan di Johor. - DagangNews.com
