KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh MN Holdings Bhd, MN Power Transmission Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM58.2 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

MN Holdings berkata kontrak tersebut melibatkan pembinaan sebuah pencawang masuk utama (PMU) 132/33 kilovolt baharu di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Perlis.

"Kerja-kerja yang terlibat termasuk pembekalan, pemasangan, pengujian dan pemeriksaan stesen penyaluran PMU 132/33kV Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (GIS) lengkap dengan semua kerja utama, sekunder dan kerja sivil yang berkaitan," katanya dalam makluman kepada bursa saham.

Kontrak tersebut akan berkuat kuasa pada 6 Mac 2025, dengan tempoh siap selama 840 hari dari tarikh permulaan.

Ia dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham syarikat pada masa depan, kata MN Holdings.

-- BERNAMA