DAVOS: ASEAN berpotensi sebagai rantau yang terus berkembang dengan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.

Ia melibatkan beberapa perkara asas lain termasuk pendidikan, teknologi makanan, transisi tenaga serta strategik Grid Kuasa ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif dibangun bersama negara anggota menunjukkan kemajuan luar biasa terutama membabitkan ketersambungan serta digital untuk ASEAN.

"ASEAN berpotensi besar lantaran menjadi rantau yang mempunyai hampir 700 juta penduduk.

"Selain itu, pertumbuhan ekonomi ASEAN paling pesat selain merupakan rantau yang lebih aman, jadi kita ada potensi besar.

"Selain perkara asas seperti pendikan dan teknologi makanan, (turut menjadi tumpuan) adalah transisi tenaga dan grid dari Indo-China, Thailand, Malaysia Singapura, Indonesia dan ke Filipina.

"Ini sesuatu yang agak berlainan, ia suatu kemajuan laur baisa termasuk jaringan dan digital untuk ASEAN," katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia mengakhiri lawatan kerja ke Davos sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Mengulas mengenai penglibatan dalam WEF 2025, Perdana Menteri turut memperincikan keistimewaan serta pendirian ASEAN.

Selaku Pengerusi ASEAN, beliau berpendirian blok itu memberi fokus kepada ekonomi dan perdagangan.

Malah memanfaatkan perdagangan intra-ASEAN sebagai kekuatan seiring dengan  kemajuan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS.