DILI (Timor-Leste): Weststar-GAP, kerjasama antara Weststar Aviation dan syarikat minyak Timor Leste Petroleo (Timor GAP) menandatangani perjanjian kontrak bersama Santos Limited.

Kerjasama dengan syarikat minyak dan gas dari Australia itu dimeterai di Dili, di sini, pada Jumaat.

Dalam perjanjian berkenaan, Weststar-GAP akan menyediakan dua helikopter Leonardo AW189 menerusi kontrak bernilai AS$40 juta (RM175.6 juta) selama 12 bulan dengan pilihan dua lanjutan selama enam bulan, setiap satu.

Kontrak itu melibatkan perkhidmatan helikopter untuk operasi luar pesisir Santos di rantau Bayu-Undan, Timor-Leste.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai salah seorang saksi lakaran sejarah itu memuji Weststar atas usaha untuk memperkasa bakat tempatan di Timor-Leste.

“Melalui program latihan untuk juruterbang, jurutera, dan kakitangan operasi, ini akan menyumbang kepada pembangunan kemahiran, penciptaan peluang kerjaya yang lestari dan pertumbuhan tenaga kerja yang sangat berkemampuan di rantau ini.

“Bagi tahun 2023 dan 2024 secara gabungan, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencecah AS$62.39 juta, sebahagian besarnya terdiri daripada produk petroleum dari Malaysia ke Timor-Leste,” katanya.

Pengarah Eksekutif Weststar, Syed Muhammad Azni Syed Azman dalam ucapannya berkata, kontrak berkenaan turut merangkumi perkhidmatan pertukaran kru dan medevac ke Dili dan Darwin, Australia.

Katanya, helikopter itu akan beroperasi di bawah bendera Malaysia (9M) yang mematuhi sepenuhnya peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kerjasama trilateral membabitkan Malaysia, Australia dan Timor-Leste itu menandakan fasa pertama rancangan strategik Weststar-GAP untuk memperluas sokongan penerbangan luar pesisir di rantau ini.

Ini termasuk potensi jangka panjang sehingga ke medan Greater Sunrise dengan  jangkaan nilai projek keseluruhan sehingga AS$400 juta sepanjang 10 tahun akan datang.