NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam insiden rempuhan di sebuah stesen kereta api di ibu negara India, New Delhi, lewat malam Sabtu.

Ketua Menteri Sementara Delhi, Atishi, berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lok Nayak Jai Prakash Narain di ibu negara.

Insiden rempuhan itu berlaku ketika ribuan orang berkumpul di stesen kereta api New Delhi, menunggu untuk menaiki kereta api ke lokasi perayaan Maha Kumbh, sebuah festival keagamaan Hindu yang diadakan di utara India.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyatakan rasa dukacitanya terhadap kejadian tersebut.

Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw, memaklumkan bahawa siasatan telah diarahkan bagi mengenal pasti punca kejadian rempuhan tersebut.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam insiden rempuhan semasa festival enam minggu itu berlangsung, selepas puluhan juta penganut Hindu berkumpul untuk mandi di sungai suci.