YANGON: Pihak berkuasa menahan 29 suspek di perbandaran Tachileik, timur Myanmar, atas kesalahan perjudian dalam talian dan penipuan kewangan pada 12 dan 13 Feb, lapor Xinhua.

Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara dalam satu kenyataan pada lewat Jumaat memaklumkan kumpulan itu terdiri daripada tujuh warga Thailand dan 22 warga Myanmar.

Pihak berkuasa turut merampas 440 komputer, 390 telefon bimbit, dua kenderaan tanpa dokumen dan barangan berkaitan dadah.

Warga Thailand berkenaan memasuki Myanmar melalui Jambatan Persahabatan Thai-Myanmar No. 1 untuk bekerja dan melancong sebelum direkrut oleh individu yang terlibat dalam perjudian dalam talian dan penipuan kewangan, menurut suspek yang dipetik pejabat itu.

Individu yang ditahan akan didakwa mengikut undang-undang, tambahnya.

-- BERNAMA