NEW DELHI: Seramai 31 orang disyaki anggota puak pemberontak Maoist dan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan terbunuh dalam insiden tembak-menembak di negeri Chhattisgarh, tengah India, pada Ahad.

Dua lagi anggota keselamatan turut cedera dalam pertempuran yang berlaku di kawasan hutan di Taman Negara Indravati, Daerah Bijapur, kira-kira 400 kilometer ke selatan Raipur, lapor media tempatan.

"Seorang anggota Pengawal Simpanan Daerah (DRG) dan seorang lagi daripada Pasukan Petugas Khas (STF) terkorban, manakala dua yang lain cedera dalam kejadian itu," kata pegawai kanan polis P. Sundarraj seperti dipetik dalam laporan dalam talian Hindustan Times.

Puak pemberontak itu, yang dikenali sebagai Naxalite telah melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di bahagian tengah dan timur India atas pelbagai tuntutan ekonomi serta politik.

Pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pemberontak ini kerap mengakibatkan korban jiwa yang besar.

Pada 6 Januari lepas, lapan anggota polis dan pemandu mereka terbunuh dalam satu serangan bom yang didakwa dilakukan oleh pemberontak di Wilayah Bijapur.

Kerajaan India telah mengambil pendekatan gabungan antara tindakan keselamatan dan inisiatif ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan yang terjejas oleh gerakan Naxalite.

Menteri Dalam Negeri India Amit Shah ketika lawatannya ke Chhattisgarh pada Disember lepas berkata jumlah kematian dalam kalangan anggota keselamatan dan orang awam akibat serangan kumpulan itu telah menurun sebanyak 70 peratus dalam tempoh sedekad lepas sejak 1983.

Kerajaan Persekutuan India menyasarkan untuk "menghapuskan sepenuhnya" gerakan Naxalite menjelang akhir Mac 2026.

-- BERNAMA