GAZA: Lebih 630 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dengan sekurang-kurangnya 300 daripada trak tersebut menuju ke utara di mana lokasi krisis kelaparan semakin meruncing pada Ahad.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memaklumkan demikian kepada Majlis Keselamatan PBB pada Isnin.

"Kami sedang melakukan bahagian kami untuk memastikan peningkatan pesat penghantaran bantuan kemanusiaan. Lebih daripada 630 trak perkhidmatan dengan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza semalam. Sekurang-kurangnya 300 daripadanya ke utara," kata Guterres.

Trak-trak tersebut memasuki Gaza pada hari pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan pasukan pejuang Palestin, Hamas.

Timbalan Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB, Dorothy Shea berkata, ini adalah masa untuk semua pihak memastikan bantuan kritikal sampai kepada mereka yang memerlukan di seluruh Gaza.

"Kami menggesa negara-negara untuk menyokong usaha ini melalui pembiayaan dan sumber serta membantu meningkatkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan.

"Tiada siapa yang mendapat manfaat daripada krisis kemanusiaan yang semakin mendalam di Gaza, terutama jutaan rakyat Palestin yang terperangkap dalam konflik yang mereka tidak mulakan dan tidak berdaya untuk menghentikannya," kata Shea.

Sementara itu, inisiatif pembangunan semula Gaza dijangka menelan perbelanjaan kira-kira AS$1 trilion susulan kemusnahan harta benda dan infrastuktur yang teruk akibat serangan rejim zionis.