WASHINGTON: Pasukan penyelamat berjaya menemukan kesemua 67 mayat mangsa yang terkorban dalam insiden membabitkan sebuah helikopter dan pesawat penumpang di Washington D.C. minggu lalu, lapor Xinhua memetik media AS pada Selasa.

Menurut laporan ABC News yang memetik kenyataan Komando Bersatu, 66 daripada mangsa telah dikenal pasti.

Komando Bersatu juga memaklumkan bahawa pasukannya masih giat mengeluarkan serpihan pesawat yang terhempas di dalam Sungai Potomac.

Operasi mendapatkan semula serpihan bangkai pesawat akan diteruskan sehingga malam Selasa, manakala operasi lain dijangka dilakukan pada Rabu bergantung kepada keadaan persekitaran dan pasang surut air.

Selepas itu, usaha akan tertumpu kepada pemulihan serpihan helikopter Black Hawk yang turut terlibat dalam nahas berkenaan.

Insiden terbabit merupakan kemalangan udara paling buruk di Washington D.C. sejak 1982.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca nahas.

-- BERNAMA