ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang dengan Ukraine untuk mengadakan pertemuan di Arab Saudi bagi memajukan usaha damai dengan Rusia, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Utusan AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff pada Khamis.

Perbincangan itu susulan surat daripada Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy kepada Presiden AS Donald Trump, yang disifatkan oleh Witkoff sebagai "langkah pertama yang positif".

"Terdapat permohonan maaf, pengakuan bahawa Amerika Syarikat telah banyak membantu Ukraine serta penghargaan," katanya kepada wartawan di Rumah Putih, menggambarkan nada surat Zelenskyy.

"Kami kini dalam perbincangan untuk menyelaras mesyuarat dengan pihak Ukraine di Riyadh atau mungkin juga di Jeddah.

"Idea utama adalah untuk menetapkan rangka kerja bagi perjanjian damai serta gencatan senjata awal."

"Saya rasa mesyuarat ini akan membawa hasil yang baik. Saya benar-benar percaya bahawa, mudah-mudahan, ini akan menjadi isyarat positif kepada pihak Rusia kerana mereka juga menunjukkan kesediaan untuk mencapai penyelesaian," kata Witkoff.

Beliau menekankan kepentingan untuk menyatukan kedua-dua pihak bagi merapatkan jurang, dengan matlamat untuk menyelesaikan perbezaan antara Ukraine dan Rusia.

Delegasi AS sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pegawai Rusia di Riyadh pada 18 Feb.

Laporan media pada Khamis menyebut delegasi AS, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, Penasihat Keselamatan Negara AS Mike Waltz dan Witkoff, dijadualkan berlepas ke Arab Saudi pada Selasa.

Ketika ditanya sama ada perjanjian berkaitan mineral yang akan meningkatkan kepentingan ekonomi AS di Ukraine akan dimeterai semasa lawatan itu, Witkoff menjawab: "Saya rasa Zelenskyy telah menawarkan untuk menandatanganinya, dan kita akan lihat sama ada beliau menunaikannya."

Mengenai penangguhan bantuan AS kepada Ukraine, Witkoff berkata: "Saya fikir pada suatu ketika... mudah-mudahan kita dapat mengembalikan semuanya ke landasan yang betul dengan Ukraine dan bantuan disambung semula. Itu yang saya harapkan."

Ketegangan antara AS dan Ukraine meningkat minggu lalu susulan pertemuan Zelenskyy dengan Trump ketika lawatannya ke Washington.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari kebelakangan ini, hubungan antara kedua-dua negara dilihat semakin pulih.

-- BERNAMA