ISTANBUL: Afrika Selatan menegaskan tidak akan menarik balik kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meskipun berdepan ancaman dan pemotongan bantuan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Tiada "sebarang kemungkinan" bagi Afrika Selatan menarik balik kes yang difailkan pada Disember 2023 itu, kata Menteri Luarnya Ronald Lamola kepada Financial Times, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

"Berpegang pada prinsip kami kadangkala membawa akibat, tetapi kami tetap teguh kerana perkara ini penting untuk dunia dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Afrika Selatan merupakan negara pertama yang membawa Israel ke ICJ berhubung perang genosid di Gaza, yang telah meragut lebih 48,000 nyawa serta menghancurkan wilayah itu sehingga tinggal hanya runtuhan. Gencatan senjata yang bermula pada 19 Jan masih berkuat kuasa ketika ini.

Minggu lepas, Trump menandatangani perintah eksekutif yang menghentikan bantuan kewangan kepada Afrika Selatan sebagai tindak balas terhadap undang-undang baharu pengambilan tanah yang didakwa menyasarkan golongan kulit putih negara itu, selain tindakan Pretoria membawa kes terhadap Israel di ICJ.

AS turut mendakwa Afrika Selatan bekerjasama dengan Iran untuk "membangunkan urusan komersial, ketenteraan dan nuklear."

"Amerika Syarikat tidak boleh menyokong pelanggaran hak asasi manusia oleh Kerajaan Afrika Selatan dalam negaranya atau tindakannya yang 'melemahkan dasar luar AS sehingga menjejaskan keselamatan negara kami, sekutu kami, rakan kongsi kami di Afrika serta kepentingan kami,'" menurut perintah eksekutif itu.

Bagaimanapun, Lamola menafikan dakwaan itu.

"Walaupun kami mempunyai hubungan baik dengan Iran, kami tidak mempunyai sebarang program nuklear bersama mereka, mahupun perdagangan yang boleh dianggap signifikan," katanya dalam temu bual dengan Financial Times.

Menurut Anadolu, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa baru-baru ini menandatangani rang undang-undang perampasan, yang membolehkan kerajaan merampas tanah tanpa pampasan sekiranya ia dianggap "adil, saksama dan untuk kepentingan awam."

Kerajaan berkata undang-undang itu bertujuan membetulkan ketidakadilan era apartheid, sementara dakwaan Trump disifatkan sebagai pembohongan, penyelewengan dan maklumat salah.

Ramaphosa juga menyatakan bahawa negara itu hanya menerima dana pencegahan HIV/AIDS daripada AS.

Selepas Afrika Selatan memfailkan prosiding terhadap Israel atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid 1948 di Gaza, beberapa negara menyertai kes itu, termasuk Nicaragua, Colombia, Cuba, Libya, Mexico, Sepanyol, Belize dan Turkiye.

Sementara itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara berasingan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Trump turut mengenakan sekatan terhadap ICC kerana menyiasat pegawai Israel.

-- BERNAMA