DAMSYIK: Pemimpin pentadbiran baharu Syria, Ahmad al-Sharaa telah diisytiharkan sebagai Presiden Republik Arab Syria dalam fasa peralihan, susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad yang memerintah negara itu selama 45 tahun.

Pengumuman ini dibuat oleh jurucakap Jabatan Operasi Ketenteraan, Kolonel Hassan Abdul Ghani, semasa Persidangan Kemenangan yang diadakan di Damsyik pada Rabu malam.

Menurut laporan media tempatan, Kolonel Abdul Ghani berkata, al-Sharaa akan memikul tugas-tugas kepresidenan termasuk mewakili Syria di peringkat antarabangsa.

Beliau juga diberi kuasa untuk membentuk sebuah majlis perundangan sementara yang akan berfungsi sehingga Perlembagaan tetap negara diluluskan dan dikuat kuasakan. 

Selain itu, Kolonel Abdul Ghani mengumumkan beberapa langkah drastik termasuk pembatalan Perlembagaan 2012, penggantungan semua undang-undang luar biasa, dan pembubaran Dewan Rakyat serta tentera rejim lama.

Beliau turut mengisytiharkan pembubaran semua agensi keselamatan, tentera dan parti-parti politik yang berafiliasi dengan rejim Assad, termasuk Parti Baath Sosialis Arab dan Barisan Progresif Nasional.

Aset-aset mereka akan dikembalikan semula kepada negara Syria. 

Al-Sharaa, yang juga dikenali sebagai Abu Muhammad al-Jolani, merupakan Setiausaha Agung
"Pentadbiran Operasi Ketenteraan" yang memimpin pertempuran "Penghalang Serangan" pada 27 November 2024.

Beliau berjaya menggulingkan rejim Assad selepas lebih 13 tahun perang saudara tercetus.

Dalam fasa baharu ini, al-Sharaa berjanji untuk memulakan proses peralihan politik yang inklusif termasuk mengadakan persidangan kebangsaan, membentuk kerajaan perpaduan dan akhirnya mengadakan pilihan raya dalam tempoh empat tahun.

Beliau menekankan pentingnya menghormati kepelbagaian etnik dan mazhab di Syria serta menjamin keselamatan semua rakyat. 

"Tiada sesiapa yang berhak mengecualikan mana-mana mazhab atau kelompok etnik.

“Mazhab-mazhab ini telah hidup bersama selama berabad-abad, dan kita mesti memelihara kepelbagaian ini," kata al-Sharaa dalam kenyataan yang dilaporkan media tempatan.

Keputusan-keputusan ini diambil dalam satu persidangan tertutup yang tidak diumumkan secara terbuka.

Walaupun tiada garis masa terperinci diberikan, langkah-langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukan al-Sharaa sebagai pemimpin baharu Syria. 

Sejurus selepas pengumuman ini, Astro AWANI difahamkan terdapat delegasi antarabangsa mula tiba di Damsyik untuk berbincang mengenai langkah-langkah seterusnya dalam proses peralihan Syria.

Al-Sharaa, yang sebelum ini dikaitkan dengan gerakan militan Islam telah berjaya mengubah imejnya menjadi pemimpin politik yang lebih sederhana dan diterima oleh komuniti antarabangsa. 

Pakar-pakar melihat langkah-langkah ini sebagai satu transformasi besar dalam landskap politik Syria.

Walaupun terdapat kritikan terhadap pengurusan al-Sharaa di Idlib sebelum ini, beliau dilihat sebagai figura yang mampu memimpin negara ini ke arah keamanan dan kestabilan. 

Dengan kejatuhan rejim Assad yang melarikan diri ke Rusia, Syria kini memasuki era baharu di bawah kepimpinan Ahmed al-Sharaa.

Di jalan-jalan utama Damsyik, Aleppo dan Idlib, rakyat Syria menyambut baik berita ini dengan tembakan aman serta nyanyian lagu-lagu perjuangan.

Malah mereka juga menanti dengan harapan agar fasa peralihan ini akan membawa keamanan dan kemakmuran lebih sedekad dilanda konflik.


* Hilal Azmi kini berada di Syria bersama pasukan dari Global Peace Mission Malaysia untuk Misi Musim Sejuk.