JAKARTA: Ketika kecerdasan buatan (AI) terus mengubah landskap pekerjaan global, Indonesia menggesa para graduannya untuk bersedia menghadapi lonjakan permintaan terhadap pekerja berkemahiran digital.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Nezar Patria berkata, AI dan teknologi baharu lain dijangka menggantikan kira-kira 92 juta pekerjaan di peringkat global.

Namun, teknologi ini juga dijangka mencipta 170 juta pekerjaan baharu menjelang 2030, yang memerlukan kemahiran khusus.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, peranan penting graduan pascasiswazah dalam transformasi digital Indonesia, sambil menggesa mereka untuk tidak hanya memperoleh kepakaran teknikal, tetapi turut memimpin dalam inovasi, pendidikan dan penyelidikan.

"Setiap cabaran hadir bersama peluang dan setiap peluang memerlukan persediaan. Bersama-sama, mari kita berusaha membina negara yang lebih kukuh serta menyumbang kepada kemajuan dunia," katanya ketika berucap di majlis graduasi Universitas Gadjah Mada (UGM), di Yogyakarta.

Ucapan beliau dikeluarkan oleh kementerian pada Khamis.

Nezar Patria menyatakan, kemahiran masa depan bukan sahaja bergantung kepada keupayaan teknikal seperti AI atau data besar, tetapi juga kemahiran kemanusiaan seperti kreativiti, kepimpinan, fleksibiliti, dan daya tahan untuk berjaya dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

"Graduan pascasiswazah UGM mesti mampu merapatkan jurang antara nilai tradisional dan teknologi moden untuk memimpin inovasi, sambil mengekalkan keharmonian dengan alam semula jadi dan masyarakat," tambahnya.

-- BERNAMA