NEW YORK: Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Jumaat berkata bahawa kecerdasan buatan (AI) tidak boleh menggantikan elemen penting manusia dalam pembelajaran dan menyeru negara-negara untuk mengekalkan kemanusiaan di tengah-tengah sistem pendidikan, lapor Xinhua.

Dalam mesejnya sempena Hari Pendidikan Antarabangsa yang disambut pada 24 Jan, Guterres menyatakan bahawa kemajuan teknologi pesat hari ini seperti AI, membawa potensi besar untuk menyokong pelajar dari pelbagai peringkat umur sepanjang perjalanan pembelajaran mereka.

"Namun ganjaran luar biasa ini diiringi oleh risiko yang menakutkan. Apabila sistem dipacu AI menjadi lebih berkuasa, niat manusia dan kesan yang didorong oleh mesin boleh dengan mudah tidak sejajar," tambahnya.

Hari Pendidikan Antarabangsa tahun ini mengingatkan bahawa potensi AI hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan memastikan agensi manusia dan hak asasi manusia di tengah-tengah teknologi yang berkembang pesat ini, kata ketua PBB itu.

"Kecerdasan buatan tidak boleh menggantikan unsur pembelajaran manusia yang penting," Guterres menekankan. "Pada hari yang penting ini, mari kita komited untuk memastikan menusia kekal sebagai teras sistem pendidikan di mana-mana sahaja."

-- BERNAMA