Al-Azhar dalam catatan di laman Facebook rasmi hari ini menegaskan bahawa rakyat Gaza yang tabah tidak akan membiarkan darah mereka yang suci dibayar dengan pengusiran dari dari tanah air mereka sendiri.
"Palestin adalah sebahagian daripada dunia Arab yang tidak akan terpisah dan rancangan untuk menghapuskan Palestin akan tercatat dalam sejarah sebagai perbuatan para penindas yang akan memalukan mereka sendiri.
Rakyat Palestin telah membuktikan mereka adalah pemilik tanah yang sebenar dan perjuangan mereka adalah perjuangan yang sah dan mereka telah lama tertindas oleh kezaliman", menurut catatan itu.
Al-Azhar menyeru agar negara-negara Arab dan Islam bersatu untuk mengambil pendirian tegas terhadap kenyataan-kenyataan kosong yang cuba merampas hak rakyat Palestin yang sah untuk menubuhkan negara merdeka mereka.
Institusi itu turut mengingatkan bahawa rancangan palsu yang dicadangkan oleh sesetengah pihak yang tidak memahami sejarah dan tidak merasai kedudukan penting tanah air tidak akan diterima oleh sesiapa.
Rakyat Gaza yang telah menunjukkan keberanian luar biasa tidak akan membiarkan pengorbanan mereka dipermainkan.
Mereka akan terus mempertahankan tanah air mereka dan tidak akan meninggalkannya tidak kira betapa kejamnya serangan yang dilakukan terhadap mereka.
Al-Azhar turut meluahkan rasa hairan terhadap mereka yang menyuarakan kebebasan dan demokrasi tetapi menutup mata terhadap hak rakyat Palestin yang sah.
Institusi itu turut mengulangi desakannya agar negara-negara Arab dan Islam bertindak tegas menentang pelanggaran ini dan menyuarakan sokongan penuh kepada perjuangan Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan ibu kotanya di Baitulmuqaddis.
-- BERNAMA