Zelensky tiba di London lebih awal pada Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan Starmer serta menghadiri sidang kemuncak mengenai Ukraine yang akan dihoskan oleh perdana menteri Britain itu pada Ahad dan dihadiri beberapa pemimpin Eropah.
"Anda mendapat sokongan penuh di seluruh UK, dan kami berdiri bersama anda serta Ukraine selama yang diperlukan," kata Starmer kepada Zelensky di hadapan orang ramai yang bersorak di luar Downing Street.
Beliau menegaskan tekad UK yang "mutlak" dan "tidak berbelah bahagi" untuk mencapai matlamat bersama mereka, iaitu "keamanan berkekalan bagi Ukraine berdasarkan kedaulatan dan keselamatan."
Zelensky melahirkan rasa terima kasihnya kepada Starmer dan rakyat Britain atas sokongan teguh mereka sejak konflik bermula pada 2022. Selepas pertemuan itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang mengulangi "sokongan tidak berbelah bahagi" Starmer untuk Ukraine.
"Perdana menteri menegaskan semula tekadnya untuk mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan serangan Rusia dan memastikan keamanan yang adil serta berkekalan demi kedaulatan dan keselamatan masa depan Ukraine," menurut jurucakap Downing Street.
Kenyataan itu menambah bahawa kedua-dua pemimpin berharap untuk meneruskan perbincangan pada sidang kemuncak Ahad di London.
Zelensky dijadual menghadap Raja Charles pada Ahad.
-- BERNAMA
