BEIRUT: Seorang anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) cedera pada Jumaat dalam serangan ke atas konvoi berhampiran lapangan terbang Beirut, di tengah-tengah protes berhubung penolakan pihak berkuasa Lubnan untuk memberikan kebenaran kepada sebuah pesawat Iran mendarat di bandar itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Petang ini, sebuah konvoi UNIFIL yang membawa anggota pengaman ke Lapangan Terbang Beirut telah diserang dengan ganas, dan sebuah kenderaan dibakar," menurut kenyataan UNIFIL, sambil menambah bahawa "Timbalan Komander Pasukan UNIFIL yang akan menamatkan misinya cedera dalam insiden itu."

Menyifatkan serangan itu sebagai "keterlaluan," UNIFIL menegaskan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan misinya di Lubnan "bagi memulihkan keselamatan dan kestabilan di selatan Lubnan selaras dengan mandat di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan."

UNIFIL turut menggesa pihak berkuasa Lubnan menjalankan siasatan penuh dan segera serta memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam mengadakan panggilan telefon berasingan dengan Penyelaras Khas PBB bagi Lubnan Jeanine Hennis-Plasschaert serta Ketua Misi dan Komander Pasukan UNIFIL Lt. Jen. Aroldo Lazaro bagi mengutuk serangan itu.

-- BERNAMA