ANKARA: Pasukan perubatan dan penyelamat Palestin menemukan 22 lagi mayat daripada runtuhan di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat serangan genosid Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,319 orang, menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa seramai 16 lagi individu yang cedera dimasukkan ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 111,749 orang.

"Masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat mengakses mereka," menurut kenyataan itu.

Perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Jan, sekali gus menghentikan sementara serangan Israel yang menyebabkan kemusnahan besar dan meninggalkan enklaf Palestin dalam runtuhan.

Walaupun gencatan senjata, pihak berkuasa tempatan Gaza melaporkan pelanggaran gencatan senjata hampir setiap hari oleh tentera Israel.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA