LONDON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Stammer yang berlangsung hari ini sebagai pertemuan yang baik.

Jelas Perdana Menteri, beliau dan rakan sejawatannya itu berpeluang mengadakan perbincangan empat mata bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, meliputi semua aspek termasuk ekonomi, pertahanan, serta pendidikan.

Bercakap kepada delegasi media Malaysia selepas pertemuan tersebut, Anwar menambah mereka berdua juga membincangkan mengenai penyelesaian terhadap isu Palestin.

“Ia terutamanya mengenai situasi di Gaza, dengan harapan untuk mencapai penyelesaian dua negara.

“Kami kelihatan agak optimis untuk mencapai penyelesaian secepat mungkin," katanya pada petang Rabu waktu tempatan.

Jelas Anwar lagi, hal-hal yang dibincangkan tersebut seterusnya akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing bagi tujuan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun.

Anwar dan Starmer mengadakan mesyuarat dua hala di No. 10 Downing Street, London selama hampir 40 minit.

Pertemuan tersebut sempena rangka lawatan kerja beliau ke London, bermula 15 hingga 19 Januari ini.

Sementara itu, Starmer berkata pertemuan tersebut satu peluang yang baik selepas enam bulan beliau menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri UK.

Jelas beliau, pertemuan tersebut juga penting ketika Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2025.

“(Pertemuan ini) merupakan potensi besar untuk kerjasama.

“Saya amat bersemangat untuk berbincang dengan anda mengenai keutamaan dan idea-idea anda.

“Terima kasih banyak atas pelaburan dan komitmen yang telah anda tunjukkan dalam  kerjasama ini,” ujar beliau.

Starmer menambah, UK dan Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dan bersejarah, dan mengalu-alukan syarikat-syarikat Malaysia terus melabur di UK.