Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata antara perkara yang dibincangkan dalam panggilan itu termasuklah mengenai situasi terkini di Gaza terkait pelanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk melengahkan proses perdamaian yang diusahakan pelbagai pihak termasuk kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
"Saya juga menyanjung usaha gigih yang dilakukan oleh Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.
"Saya turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendukung setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan di samping menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza," kata beliau dalam hantaran tersebut.
Semalam, pada sidang media bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus berusaha menyokong Palestin, tetapi memberi amaran terhadap gerakan diplomatik bersifat kosmetik yang gagal menangani punca sebenar konflik.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)