KUALA LUMPUR: Arab Saudi menyatakan penghargaan kepada kecaman, bantahan dan penolakan penuh daripada negara-negara Arab terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin dari tanah air mereka.


Ringkasan AI
  • Arab Saudi dan negara-negara Arab lain menolak cadangan Benjamin Netanyahu untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka, menyatakan ia sebagai helah untuk mengalihkan tumpuan daripada jenayah perang Israel di Gaza.
  • Arab Saudi menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak terhadap tanah air mereka dan bukan penceroboh yang boleh dibuang sesuka hati oleh Israel.
  • Netanyahu dikritik sebagai individu yang membawa idea ekstrem yang menghalang usaha mencapai keamanan di rantau tersebut, dengan menolak inisiatif keamanan yang diterima oleh negara-negara Arab.


Kementerian Luar Negeri Arab Saudi melalui kenyataan pada Sabtu berkata cadangan Perdana Menteri Israel itu hanyalah helah untuk mengalihkan tumpuan daripada jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis di Gaza.

"Dalam konteks ini, kerajaan menekankan penolakan penuh kepada kenyataan (Netanyahu) yang bertujuan mengalihkan tumpuan daripada jenayah yang berterusan oleh pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, termasuk pembersihan etnik yang dimangsakan ke atas mereka.

"Dan (Israel) tidak fikir bahawa rakyat Palestin berhak untuk hidup sama sekali, memandangkan mereka telah memusnahkan Gaza sepenuhnya, membunuh dan mencederakan lebih 160,000 orang yang kebanyakannya ialah kanak-kanak dan wanita, tanpa sedikit pun rasa kemanusiaan atau tanggungjawab moral,” menurut kenyataan itu.

Arab Saudi juga menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak terhadap tanah air dan mereka bukan penceroboh atau pendatang yang boleh dibuang pada bila-bila masa dengan kejam oleh pendudukan Israel.

Kenyataan itu turut merujuk kepada Netanyahu sebagai individu utama yang membawa idea ekstrem yang telah menggagalkan sebarang usaha mencapai keamanan di rantau berkenaan, tanpa menyebut nama pemimpin utama Israel itu secara literal.

“Kerajaan akui bahawa pemuka kepada idea ekstrem ini ialah individu yang menghalang Israel daripada menerima keamanan dengan menolak hidup bersama dalam damai, menolak inisiatif keamanan yang diterima oleh negara-negara Arab.

“Dan mengamalkan ketidakadilan secara sistematik terhadap rakyat Palestin sejak lebih 75 tahun yang lalu, dengan menafikan kebenaran, keadilan, undang-undang dan prinsip-prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, termasuk hak manusia untuk hidup dengan maruah di tahan sendiri,” tambahnya.

Arab Saudi turut menegaskan keamanan yang kekal tidak dapat dicapai kecuali menerusi pertimbangan waras dan menerima prinsip hidup bersama dalam damai melalui solusi dua negara.

Netanyahu sebelum ini mencadangkan agar Palestin ditubuhkan di Arab Saudi dan bukan di tanah air mereka sendiri, menolak sebarang pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin.