Mesyuarat yang dirancang itu akan dihadiri oleh Arab Saudi, Mesir, Jordan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Anadolu Ajansi (AA) dengan memetik kenyataan Hossam Zaki, Penolong Setiausaha Agung Liga Arab yang disiarkan di televisyen.
"Kemungkinan Palestin boleh dijemput ke mesyuarat itu untuk membincangkan rangka kerja umum cadangan (Mesir) yang akan dikemukakan kepada Sidang Kemuncak Arab," katanya.
Awal bulan ini, Mesir menyatakan komitmen untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Tergempar Arab pada 27 Feb berikutan cadangan kontroversi oleh Presiden AS (Donald Trump) untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin untuk membangunkannya menjadi apa yang beliau sifatkan "Riviera Timur Tengah."
"Kesemua negara ini akan bertemu kali ini untuk menyelaraskan mengenai idea dan cadangan Mesir yang akan dikemukakan pada Sidang Kemuncak Arab," kata Zaki.
Zaki berkata Sidang Kemuncak Arab yang dirancang itu boleh ditangguhkan selama beberapa hari kerana "faktor logistik berkaitan jadual pemimpin negara yang mengambil bahagian."
"Mesir sedia menerima seramai mungkin pemimpin bagi memastikan kejayaan sidang kemuncak itu," katanya.
Sidang kemuncak itu bertujuan untuk "merumuskan pendirian Arab yang padu, kukuh dan kuat mengenai isu Palestin secara umum, menolak rancangan pemindahan yang merupakan idea Israel dan diterima pakai oleh pentadbiran AS serta mengemukakan cadangan umum Arab yang menentang cadangan Amerika ini," kata Zaki.
Pada Ahad, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengesahkan bahawa negaranya sedang menyediakan rancangan "komprehensif" untuk membina semula Gaza tanpa memindahkan rakyat Palestin.
Rancangan untuk pemindahan rakyat Palestin ditolak oleh dunia Arab dan banyak negara lain, yang mengatakan ia sama dengan pembersihan etnik.
Idea kontroversi itu muncul selepas perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, sekaligus menghentikan serangan genosid Israel, yang membunuh hampir 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA
