Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Arab Saudi menegaskan "penolakan mutlak" terhadap kenyataan sedemikian, sambil menekankan bahawa "rakyat Palestin berhak ke atas tanah mereka, dan mereka bukanlah pendatang atau penceroboh yang boleh diusir sesuka hati oleh pendudukan Israel yang kejam."
Menurut Agensi Anadolu, Arab Saudi turut menyatakan bahawa "mentaliti ekstremis dan pendudukan seperti ini tidak memahami makna tanah Palestin bagi rakyat Palestin yang bersaudara," serta menegaskan bahawa Israel "tidak menganggap rakyat Palestin layak untuk hidup sejak awal lagi."
"Kumpulan yang menyokong idea-idea ekstremis ini adalah pihak yang menghalang Israel daripada menerima keamanan," menurut kementerian itu, sambil menegaskan bahawa Israel telah "secara sistematik menindas rakyat Palestin selama lebih 75 tahun."
Mengulangi komitmennya terhadap penyelesaian secara aman, Arab Saudi menegaskan bahawa "hak rakyat Palestin akan tetap terpelihara dan tiada siapa yang dapat merampasnya daripada mereka tidak kira berapa lama masa yang dihabiskan untuk itu."
Keamanan yang berkekalan tidak akan tercapai melainkan dengan kembali kepada logik yang rasional dan menerima prinsip kewujudan bersama secara aman menerusi penyelesaian dua negara," katanya.
Pada Khamis, Netanyahu mencadangkan supaya rakyat Palestin menubuhkan negara mereka di Arab Saudi dan bukannya di tanah air sendiri, sambil menolak sebarang konsep kedaulatan Palestin.
Terdahulu, pada 4 Februari, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan Washington akan "mengambil alih" Gaza dan menempatkan semula rakyat Palestin di lokasi lain menerusi rancangan pembangunan luar biasa yang didakwanya boleh menjadikan wilayah itu sebagai "Riviera Timur Tengah."
Cadangan itu menerima kecaman meluas daripada rakyat Palestin, negara-negara Arab dan banyak negara lain di seluruh dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom.
-- BERNAMA