KAHERAH: Arab Saudi secara tegas menolak sebarang pencabulan terhadap hak rakyat Palestin, kata Menteri Luarnya, Putera Faisal bin Farhan, pada Selasa.

Dalam ucapannya pada sidang kemuncak luar biasa Liga Arab, di sini, yang membincangkan langkah menentang rancangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai Gaza, Putera Faisal menekankan penolakan terhadap penempatan haram Israel serta usaha untuk mengusir rakyat Palestin.

"Kami menegaskan keperluan adanya jaminan antarabangsa dan resolusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang memastikan kelangsungan gencatan senjata di Semenanjung Gaza," kata Putera Faisal kepada para pemimpin Arab yang menghadiri sidang tersebut.

Beliau turut menyatakan Kerajaan Arab Saudi menyokong penyelesaian dua negara serta hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Menurutnya, pembinaan semula Gaza mesti dilakukan sementara penduduknya kekal di wilayah tersebut dan Kerajaan Arab Saudi menyokong langkah-langkah yang diambil oleh Pihak Berkuasa Palestin untuk menjamin keselamatan serta kestabilan.

"Penderitaan yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang ditanggung oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza memerlukan masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama dalam mengembalikan kehidupan seperti sediakala di wilayah tersebut, membangunkannya semula, serta membolehkan rakyat Palestin hidup dengan bermaruah di tanah mereka sendiri tanpa sebarang usaha untuk mengubah realiti di wilayah Palestin," tegasnya.

"Kami berharap sidang kemuncak ini akan membawa kepada hasil yang nyata untuk menamatkan akibat buruk perang ini, melindungi orang awam yang tidak bersalah di Palestin serta mewujudkan satu realiti baharu di mana rantau ini dapat menikmati keselamatan, kestabilan, dan kemakmuran," tambah beliau.

Kenyataan akhir yang diterima pakai dalam sidang kemuncak tersebut menyeru kepada penempatan pasukan perlindungan antarabangsa dan pasukan pengaman di wilayah Palestin.

Sidang itu turut mengecam keputusan terbaharu Israel untuk menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza serta menutup laluan yang digunakan untuk operasi bantuan.

Di samping itu, sidang tersebut meluluskan rancangan yang dikemukakan oleh Mesir mengenai Gaza dengan kerjasama penuh Palestin dan negara-negara Arab.

Ia juga menekankan keperluan untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh yang dapat memenuhi hak-hak rakyat Palestin. - Agensi