KUALA LUMPUR: ASEAN mahu berunding dengan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang pelaburan dan perdagangan secara kolaboratif. 


Ringkasan AI
  • ASEAN mahu berunding dengan Amerika Syarikat dalam bidang pelaburan dan perdagangan secara kolaboratif.
  • ASEAN menghargai pelaburan tinggi oleh AS di rantau Asia Tenggara, yang melebihi pelaburan di China, Jepun, Korea Selatan, dan India.
  • Banyak negara ASEAN bergantung kepada kerjasama keselamatan dengan AS, walaupun ada yang kritikal terhadapnya.


Felo Kanan Program Dasar Luar Negeri dan Kajian Keselamatan (ISIS) Malaysia, Thomas Daniel berkata, usahasama ini perlu diteruskan walaupun persepsi umum mengenai rundingan dengan pentadbiran Donald Trump dianggap sukar. 

“Asia Tenggara tidak mahu AS untuk hentikan rundingan, sebaliknya mahu rundingan yang bersifat kolaboratif yang tidak terikat kepada lensa keselamatan atau misi peribadi AS untuk menyekat sebarang kuasa asing di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog ASEAN25 pada Khamis.

ASEAN mahu rundingan bersifat kolaboratif dengan AS, bukan ditekan - Penganalisis


Tambah Thomas, sikap negara-negara ASEAN ini adalah berdasarkan kepada angka pelaburan yang tinggi oleh AS di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, sumbangan AS kepada rantau ini juga menjangkaui aspek keselamatan dan pembangunan.

“Ramai orang bicarakan tentang pelaburan China di Asia Tenggara, tetapi pada masa yang sama AS juga banyak melabur di Asia Tenggara. 

“Dua tahun lalu, kumulatif pelaburan AS di Asia Tenggara adalah lebih tinggi berbanding keseluruhan pelaburan mereka di China, Jepun, Korea Selatan dan India. 

“Banyak negara di Asia Tenggara, termasuk negara-negara yang kritikal terhadap AS bergantung kepada kerjasama keselamatan dengan AS,” jelasnya.

Oleh yang demikian beliau menegaskan keperluan bagi negara anggota ASEAN untuk bersiap sedia dengan lenggok bahasa diplomasi dan rundingan yang selaras dengan Amerika Syarikat bagi memudahkan dialog dengan AS di bawah Trump.