NEW DELHI: Azerbaijan akan melabur AS$2 bilion dalam projek di Pakistan ketika kedua-dua negara berusaha memperkukuh kerjasama ekonomi.

Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang sedang dalam lawatan ke Baku pada Isnin mengadakan perbincangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, tenaga, pertahanan, dan kesalinghubungan serantau.

"Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami turut mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai memuktamadkan portfolio pelaburan Azerbaijan bernilai AS$2 bilion dalam projek yang memberi manfaat bersama di Pakistan," kata Shehbaz dalam hantaran di X, sambil menambah bahawa Aliyev dijadual mengunjungi Pakistan pada April tahun ini bagi memeterai perjanjian berkaitan pelaburan itu.

"Kami menzahirkan komitmen serta tekad bersama untuk memperkukuh perkongsian strategik Pakistan-Azerbaijan, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi turut menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau," kata Perdana Menteri Pakistan itu.

Shehbaz memulakan lawatan dua hari ke Azerbaijan pada Ahad. - BERNAMA