Jepun dan China bersetuju mengenai penglibatan Beijing dalam pensampelan dan analisis air yang dilepaskan di bawah kerangka kerja Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Menurut pegawai kerajaan, langkah itu sebahagian daripada usaha untuk memudahkan potensi China menyambung semula import makanan laut Jepun, yang digantung susulan keputusan Tokyo melepaskan air terawat ke laut.
Selain pakar IAEA, penganalisis dari China, Korea Selatan, Switzerland dan Perancis turut mengambil bahagian dalam aktiviti pensampelan itu.
Pada Jumaat, sampel cecair diambil dari tangki simpanan di tapak loji, lokasi tempat air terawat disimpan sebelum dicairkan dengan air laut.
Loji Fukushima Daiichi mengalami pencairan teras reaktor di beberapa unit selepas gempa bumi bermagnitud 9.0 dan tsunami pada Mac 2011.
Pengendali loji itu mula melepaskan air radioaktif terawat secara terkawal ke lautan pada Ogos 2023, langkah yang mencetuskan bantahan kuat dari China.
-- BERNAMA
