DHAKA: Kerajaan peralihan Bangladesh sedang berusaha untuk mengadakan pilihan raya umum menjelang Disember tahun ini.

Perkara itu dicapai semasa delegasi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang diketuai Setiausaha Agungnya, Mirza Fakhrul Islam Alamgir, bertemu ketua kerajaan sementara, Muhammad Yunus.

Semasa sesi perjumpaan, mereka menyatakan persetujuan dalam kalangan parti politik untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

Mirza berkata, kerajaan peralihan telah memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat di mana ketua penasihat kerajaan dan wakil kerajaan yang hadir turut menyatakan mereka sedang berusaha untuk mengadakan pilihan raya menjelang Disember.

Selain itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan akan membentangkan pelan hala tuju tidak lama lagi.

Kerajaan pimpinan Muhamad Yunus menubuhkan enam suruhanjaya berasingan untuk melaksanakan pembaharuan dalam beberapa sektor termasuk perlembagaan, sistem pilihan raya, kehakiman, sistem anti-rasuah, pentadbiran awam dan pentadbiran polis.

Setiap suruhanjaya itu telah pun mengemukakan laporan dengan cadangan pembaharuan masing-masing.

Sabtu lalu, penasihat undang-undang, Asif Nazrul berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan parti-parti politik pada bulan ini bagi mencapai kata sepakat mengenai cadangan enam suruhanjaya itu.

BNP turut menuntut tindakan tegas terhadap pegawai pentadbiran yang didakwa terlibat dalam penyelewengan sumber negara dan memohon pemulangan semula wang yang telah diseleweng ke luar negara.

Baru-baru ini, Muhamad Yunus mendedahkan bahawa kira-kira AS$17 bilion telah dikeluarkan daripada sistem perbankan negara oleh oligarki yang rapat dengan pemerintahan diktator manakala AS$16 bilion lagi diseleweng setiap tahun sepanjang 15 tahun pemerintahan Hasina.

Hasina yang kini berada dalam buangan di India sejak kejatuhan pemerintahannya, berulang kali menafikan dakwaan tersebut.