COPENHAGEN: Bekas Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, dilantik sebagai Menteri Kewangan Norway yang baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Setelah mempertimbangkan dengan teliti cabaran semasa yang kita hadapi, saya telah memutuskan untuk menerima permintaan Perdana Menteri (Jonas Gahr) Store untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan," kata Stoltenberg dalam satu kenyataan bertulis pada Selasa.

Pada akhir Januari, gabungan pemerintah Norway berpecah akibat perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan peraturan Kesatuan Eropah (EU) bagi pasaran tenaga. Parti Centre (Parti Pusat Norway), yang sebelum ini merupakan rakan kongsi junior kepada Parti Demokrat Sosial pimpinan Store, menarik diri daripada kerajaan susulan perbezaan tersebut.

Berikutan itu, Store perlu mengisi lapan jawatan menteri baharu yang sebelum ini disandang oleh ahli politik dari Parti Centre.

Dalam siaran langsung di laman web rasmi kerajaan Norway, Stoltenberg muncul di dataran hadapan istana diraja di Oslo bersama Store dan anggota Kabinet yang lain.

Antara muka baharu dalam kerajaan ialah Tore O Sandvik sebagai Menteri Pertahanan dan Astri Aas-Hansen sebagai Menteri Kehakiman.

Stoltenberg pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Norway dari 2000 hingga 2001 dan dari 2005 hingga 2013, serta Setiausaha Agung NATO dari 2014 hingga 2024.

Sehingga musim luruh 2024, Stoltenberg masih menegaskan beliau tidak bercadang untuk kembali ke arena politik tertinggi di negaranya.

Pilihan raya parlimen Norway dijadualkan berlangsung pada September ini. Perlembagaan Norway tidak memperuntukkan pilihan raya diadakan lebih awal. - BERNAMA