Menurut laporan polis, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi apabila pemilik rumah sewa, Riyazuddin terdengar jeritan mangsa, Mohammad Aleem, 55.
"Ketika saya cuba pergi ke bahagian teres di mana Aleem tinggal bersama anaknya, saya mendapati pintu bilik mereka berkunci dari luar.
"Dengan bantuan jiran, saya berjaya sampai ke teres dan melihat bilik itu terbakar manakala Aleem menjerit meminta tolong dari dalam," katanya.
Apabila pintu berjaya dibuka, Aleem didapati telah meninggal dunia akibat melecur teruk, manakala anaknya melarikan diri dengan melompat ke rumah jiran berdekatan.
Menurut pegawai polis, sebelum kejadian, Aleem telah menegur anaknya kerana dipercayai mencuri wang dari poketnya.
Dalam keadaan marah, dipercayai remaja itu telah menyimbah bahan mudah terbakar ke atas bapanya sebelum menyalakan api.
Pihak polis telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Aleem yang berasal dari Mirzapur, Uttar Pradesh, berpindah ke Faridabad bersama anaknya pada September tahun lalu.
Dia bekerja mengumpul derma untuk tempat ibadat dan menjual kelambu serta barangan lain di pasar mingguan.
Isterinya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu, manakala empat anaknya yang lain sudah berkahwin dan tinggal berasingan.
Pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan mengambil keterangan daripada saksi bagi melengkapkan siasatan. - Sinar Harian/ Agensi
