ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 4 Februari 2025.


1. Hanya beberapa jam sebelum dilaksana, Trump tangguh tarif ke atas Mexico, Kanada

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan beliau menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara pada Isnin - hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.



2. China fail aduan kepada WTO terhadap kenaikan tarif AS

China memfailkan aduan kepada mekanisme penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas barangan dari China, menurut Kementerian Perdagangan (MOC).


3. China kenakan cukai 15 peratus ke atas arang batu dan LNG dari Amerika Syarikat

China mengenakan cukai 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS), menurut kenyataan daripada jawatankuasa tarif dan pengelasan Majlis Negara China yang dikeluarkan pada Selasa.


4. London sedia tindakan balas jika AS kenakan tarif ke atas produk Britain

United Kingdom (UK) sedang mempersiapkan tindakan balas sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan tarif ke atas produk-produk Britain, lapor Financial Times pada Isnin, memetik seorang pegawai Britain yang tidak dinamakan.


5. Pengeluar China akan pindah pengeluaran ke luar negara elak tarif AS

Pengeluar dari China merancang untuk mempercepat usaha memindahkan pengeluaran ke negara lain bagi mengelak tarif Amerika Syarikat (AS).


6. Senat AS sahkan Chris Wright sebagai Setiausaha Tenaga

Senat Amerika Syarikat pada malam Isnin mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liberty Energy, Chris Wright sebagai Setiausaha Jabatan Tenaga yang baharu.


7. Jepun pertimbang terima penduduk Gaza untuk rawatan - PM Ishiba

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, pada Isnin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menawarkan bantuan perubatan di Jepun kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik.


8. AS tarik diri Majlis Hak Asasi Manusia PBB, henti dana untuk pelarian Palestin

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka menandatangani perintah eksekutif pada Selasa untuk menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menghentikan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).


9. Penyelidikan Australia dapati tiada kaitan antara telefon bimbit dan kanser

Penyelidikan yang diketuai oleh agensi keselamatan nuklear dan radiasi Australia tidak menemui sebarang kaitan antara penggunaan telefon bimbit dengan pelbagai jenis kanser.


10. Afrika Selatan nafi ‘rampas tanah’ selepas Trump ancam henti salur bantuan

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, memberi maklum balas pada Isnin terhadap ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu memotong bantuan berikutan dakwaan layanan buruk terhadap petani kulit putih.