ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 9 Mac 2025.


1. Jepun alami kekurangan pekerja sepenuh masa paling serius sejak COVID-19

Firma di Jepun kini menghadapi kekurangan pekerja sepenuh masa paling ketara sejak pandemik COVID-19, dengan lebih separuh daripada firma yang disoal selidik melaporkan kekurangan tenaga kerja, menurut satu tinjauan sektor swasta.



2. Lelaki panjat Big Ben kibar bendera Palestin ditahan

Seorang lelaki yang memanjat Menara Elizabeth yang menempatkan jam gergasi ikonik Big Ben di Istana Westminster, London telah ditahan pihak berkuasa Britain pada awal pagi Sabtu.


3. Universiti Jepun perkenal program AI untuk latihan pelajar perubatan

Universiti Nagasaki di barat daya Jepun dan sebuah syarikat pembangunan sistem tempatan memperkenalkan program kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pelajar perubatan berlatih menjalankan temu bual dengan pesakit maya di skrin.


4. Usaha gencatan senjata Gaza berterusan, petanda positif rundingan fasa kedua - Hamas

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Sabtu mengesahkan bahawa usaha pengantaraan yang diketuai Mesir dan Qatar masih diteruskan bagi memuktamadkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dengan Israel serta memulakan rundingan fasa kedua.


5. Serpihan SpaceX Starship jejas 240 penerbangan

Lebih 240 penerbangan terjejas, dengan 24 pesawat diarah mengubah haluan berikutan kebimbangan pelanggaran dengan serpihan kapal angkasa SpaceX Starship yang meletup di udara ketika pelancarannya Jumaat lepas.


6. 12 cedera insiden tembakan di pub Toronto

Sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam insiden tembakan dekat sebuah pub di Toronto, Kanada pada Jumaat malam.


7. Angka korban ribut di selatan Argentina meningkat kepada 13

Angka korban akibat ribut dahsyat yang melanda bandar pelabuhan Bahia Blanca di selatan Argentina pada Jumaat meningkat kepada 13 orang, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.


8. China lanjutkan pinjaman AS$2 bilion kepada Pakistan selama setahun lagi

China telah melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman bernilai AS$2 bilion kepada Pakistan selama setahun lagi, memberikan kelegaan kewangan penting kepada negara itu, menurut pengesahan Kementerian Kewangan pada Sabtu.


9. Ribuan wanita berkumpul dan berarak di Dataran Taksim

Ribuan wanita berkumpul berhampiran Dataran Taksim, Istanbul pada Sabtu bagi menyertai perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa, walaupun diharamkan oleh pihak berkuasa tempatan.


10. Dua wanita termasuk pelancong warga Israel dirogol di India

Seorang lelaki maut manakala seorang pelancong wanita Israel dan seorang wanita India dirogol secara beramai-ramai oleh tiga lelaki baru-baru ini berhampiran sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang popular di selatan India.