Menjadi satu-satunya Ketua Kerajaan yang diberikan penghormatan menyampaikan ucapan pada persidangan berkenaan di hadapan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb serta lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam seluruh dunia, Anwar berkata ia menjadi bukti dan penghargaan terhadap usaha memartabatkan Islam yang dilakukan Kerajaan MADANI.
"Raja Bahrain (Sheikh Hamad Isa Al Khalifa) dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif (Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb) memberi peluang (kepada saya) hadir dan memberi ucaptama pada persidangan IIDC.
"Persidangan ini mengundang semua tokoh Islam utama dunia dan dari semua mazhab, aliran untuk bermuafakat mengelakkan daripada perseteruan dan ketegangan, menerima kenyataan bahawa ada beberapa hal yang kita berbeza pendapat, sama ada dalam bidang teologi atau amalan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa dan akan berlepas pulang ke ibu negara, 5 petang waktu tempatan.
Anwar berkata dalam ucaptama di persidangan IIDC itu, antara lain beliau menyentuh peranan penting para ulama dan cendekiawan Islam dalam memberi nasihat kepada kerajaan dan umat Islam secara keseluruhan.
Beliau berkata perkara sama turut disampaikan kepada Imam Besar Al Azhar dan disembah maklum kepada Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa dalam pertemuan bersama kedua-dua figura berkenaan.
"Bagi saya, saya beritahu kepada Imam Besar Al Azhar bahawa saya akan terus mendukung (peranan ulama) dan saya sampaikan hasrat ini juga kepada Raja Hamad supaya hasrat murni ini patut didukung.
"Ini kerana bila para ulama dengan berani dan tegas menegur umat, menegur ulama pelampau, menegur kerajaan dan pimpinan yang tidak mematuhi semangat ini, ini satu contoh keupayaan ulama dan elit Islam yang dapat kita banggakan," katanya.
Persidangan dua hari yang berakhir hari ini dan diadakan di bawah naungan Raja Bahrain dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain dan Muslim Council of Elders, sebagai kesinambungan usaha yang dimulakan semasa Forum Dialog Bahrain pada November 2022.
Menurut Agensi Berita Bahrain, inisiatif yang dipelopori oleh Imam Besar itu bertujuan memperkukuh perpaduan Islam dan memperdalam dialog dalam kalangan sarjana Islam.
-- BERNAMA
