JAKARTA: Gara-gara tidak mahu membayar hutang seorang lelaki dibunuh oleh kawannya sendiri.

Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku di Sumatera Selatan baru-baru ini, membabitkan suspek Rudi Hartono (RH), 40, serta mangsa IS, 52.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Lubuklinggau, AKP M Kurniawan Azwar, kejadian pembunuhan itu bermula apabila suspek datang ke rumah seorang saksi dikenali SE di Kelurahan Bandung Kiri, Kecamatan Lubuklinggau Barat I, pada Selasa lalu.

"Ketika itu, mangsa IS turut berada di lokasi. Suspek kemudian bertanyakan tentang wang sebanyak 3.2 rupiah (RM866) yang dipinjam oleh mangsa kerana RH perlu membayar ansuran kredit kereta," jelasnya kepada wartawan pada Khamis.

Namun, mangsa IS menyatakan bahawa dia tidak mempunyai wang dan belum mampu membayar hutangnya. Pada mulanya, RH memahami keadaan itu dan pulang ke rumah.

"Setibanya di rumah, suspek baru menyedari bahawa telefon bimbitnya tertinggal di rumah saksi. Lalu, dia memutuskan untuk kembali ke lokasi tersebut," tambahnya.

Namun, semasa berada di hadapan rumah saksi, RH terdengar percakapan mangsa IS yang mengaku tidak berniat untuk membayar hutang tersebut dan memanggil RH dengan kata-kata kesat.

"Suspek yang marah mendengar kata-kata itu kemudian memasuki rumah saksi melalui pintu dapur dan mengambil sebilah parang," ujarnya.

Selepas itu, RH menghampiri mangsa yang sedang berbual dengan saksi di ruang tamu dan terus menetak kepala serta lengan kiri mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, manakala lengan kirinya hampir putus. Suspek kemudian melarikan diri selepas melakukan serangan tersebut," jelas Kurniawan.

Kurniawan memberitahu bahawa mangsa sempat dibawa ke Hospital AR. Bunda Lubuklinggau untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia.

Dalam proses siasatan, pihak polis menerima maklumat bahawa RH berhasrat untuk menyerahkan diri. Seterusnya, pasukan polis menjemput RH di rumah mentuanya sebelum membawanya ke balai polis Lubuklinggau.

"Suspek berserta barang bukti telah kami terima untuk proses undang-undang yang seterusnya," katanya. - Sinar Harian