Menurut Agensi Berita Yonhap, Polis Wilayah Jeonnam baru-baru ini menyoal siasat Kim sebagai saksi berhubung nahas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di daerah barat daya Muan pada 29 Dis. Daripada jumlah keseluruhan 181 orang di dalam pesawat, hanya dua yang terselamat.
Polis dikatakan telah menumpukan soal siasat mereka kepada operasi dan pengurusan keselamatan pesawat yang terlibat dalam nahas itu, dengan Kim dilaporkan menyatakan tiada isu mengenai keselamatan, penyelenggaraan dan operasi jet itu.
Polis telah memanggil beberapa pegawai daripada syarikat penerbangan bajet itu, lapangan terbang, kementerian pengangkutan, dan agensi berkaitan untuk menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.
Penyiasat kini menumpukan penyiasatan mereka pada localiser lapangan terbang, alat navigasi yang bertembung dengan pesawat semasa nahas.
Jet Boeing 737-800 dari Bangkok itu terbakar selepas merempuh struktur yang membantu navigasi pesawat ketika ia melepasi landasan semasa mendarat menggunakan bahagian bawah badan pesawat di lapangan terbang itu.
-- BERNAMA
