"Hubungan China-Panama tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga dan tidak seharusnya diganggu oleh mana-mana pihak ketiga. China berharap Panama dapat menghapuskan gangguan luar dan membuat keputusan yang tepat dengan mengambil kira hubungan dua hala secara keseluruhan serta kepentingan jangka panjang rakyat kedua-dua negara," kata Zhao seperti dipetik dalam kenyataan Kementerian Luar China pada Sabtu.
Pada Khamis, Presiden Panama Jose Raul Mulino mengumumkan bahawa negaranya secara rasmi telah memaklumkan China mengenai keputusan untuk menarik diri daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Bagaimanapun, beliau menafikan keputusan itu berkaitan dengan lawatan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, ke Panama baru-baru ini.
China telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Panama berhubung rancangannya untuk menamatkan memorandum persefahaman mengenai BRI, kata Zhao. Beliau menegaskan bahawa China "tegas menentang usaha AS untuk menjejaskan hubungan China-Panama serta mencemarkan dan mensabotaj kerjasama BRI melalui tekanan dan ancaman."
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump dalam ucapan pelantikannya pada 20 Januari berkata beliau mahu AS kembali mengawal Terusan Panama, yang menurutnya telah diserahkan kepada Panama tetapi didakwa dikendalikan oleh China. Trump juga menuduh Panama mengenakan bayaran berlebihan terhadap kapal-kapal AS, termasuk kapal tentera laut. Presiden Panama menolak dakwaan Trump bahawa terusan itu sepatutnya menjadi milik AS.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)