Sepanjang tahun ini, salah satu taufan paling kuat pernah direkodkan melanda Amerika Syarikat, kebakaran hutan memusnahkan kawasan di Kanada dan Greece, manakala hujan monsun yang luar biasa mengakibatkan banjir dahsyat di Pakistan, Bangladesh serta India, menjejaskan jutaan nyawa.
Tahun ini juga menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan, dengan suhu purata global meningkat lebih 1.5 darjah Celsius berbanding tahap pra-industri.
Tiada kawasan di dunia terlepas daripada cuaca ekstrem.
Laporan oleh Dewan Perdagangan Antarabangsa mendedahkan bahawa kejadian cuaca ekstrem telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$2 trilion secara global dalam sedekad lalu.
Satu anggaran menunjukkan kerosakan bernilai AS$400 bilion hanya pada tahun 2024.
COP29 yang diadakan di Baku, Azerbaijan pada November lalu digelar sebagai "COP Kewangan" dengan harapan komitmen pembiayaan iklim bernilai AS$1 trilion untuk negara membangun.
Mark Watts, Pengarah Eksekutif C40 Cities Climate Leadership Group berkata, masalahnya bukan kekurangan dana untuk menangani krisis iklim, Tetapi wang itu masih disalurkan ke arah yang salah.
"Kita perlu mengkalibrasi semula serta mengalihkan pelaburan daripada bahan api fosil," katanya.
Namun, harapan musnah apabila negara maju setuju dengan ikrar AS$300 bilion setahun pada COP29, tanpa sebarang langkah konkrit untuk peralihan daripada bahan api fosil.
China mencatatkan rekod baharu pemasangan tenaga solar dan angin, menyumbang hampir 50 peratus pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui dunia pada tahun 2024.
Negara itu juga melancarkan loji hidrogen hijau terbesar di dunia, mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil untuk sektor perindustriannya.
Penggunaan kenderaan elektrik melonjak, dengan 40 peratus daripada semua kereta yang dijual di China kini adalah elektrik.
Sejak tahun 2016, China telah menyediakan dan menggerakkan dana untuk peralihan hijau dan pembangunan bernilai AS$24.5 bilion, membantu negara-negara di selatan global dalam usaha tindakan iklim mereka.
